PENGENALAN

Pasukan Pencak Silat Olahraga Daerah Manjung adalah satu pasukan yang terdiri dari atlit pencak silat yang terpilih di bawah program pemilihan yang dianjurkan oleh Persatuan Pencak Silat Olahraga Daerah (PERSADA) Manjung di bawah perkenan Majlis Sukan Daerah Manjung bagi membentuk Pasukan Pencak Silat Olahraga Daerah bagi mewakili Daerah Manjung ke Sukan Perak ke-5 (SUPER V) 2009. Majlis Sukan Daerah Manjung telah melantik pegawai-pegawai pasukan untuk menguruskan pasukan pencak silat ini bagi menyediakan keupayaan bersaing di peringkat Negeri Perak seterusnya mewakili Negeri Perak ke peringkat kebangsaan (SUKMA). Atlit-atlit dalam pasukan ini datangnya dari pelbagai perguruan di Daerah Manjung yang menyertai Program Pemilihan Pertandingan Pencak silat Olahraga Daerah Manjung yang telah diadakan pada 15 Mac 2009 bertempat di SK Seri Bayu, Mukim Pundut, Seri Manjung, Perak. Selain dari itu, bagi melengkapkan pasukan, terdapat atlit-atlit yang dikenalpasti potensinya oleh jurulatih-jurulatih diserapkan ke dalam pasukan melalui proses penilaian luar tanding. Program Latihan Pusat Pasukan Pencak Silat Olahraga Daerah Manjung Sebagai usaha meningkatkan prestasi atlit-atlit yang terpilih, pihak pengurusan pasukan telah merancang dan melaksanakan program latihan pusat bermula dari 04 April 2009 hingga 14 Jun 2009. Program latihan pusat ini dibahagikan kepada 2 fasa iaitu Latihan Fasa Luar Musim dan Latihan fasa Intensif Musim Pertandingan. Latihan Fasa Luar Musim dijalankan pada setiap Sabtu hingga Ahad mulai 04 April 2009 hingga 31 Mei 2009 bertempat di Balai Silat Hujung Pasir, Pengkalan Baru, Pantai Remis, Perak. Program Latihan Fasa Luar Musim adalah di bawah tanggungan pasukan. Majlis Sukan Daerah hanya akan menaja Latihan fasa Intensif Musim Pertandingan selama 10 hari mulai 03 - 14 Jun 2009.